Sunday, February 13, 2022

Masih ingatkah lagi kisah sedih Rasulullah S.A.W ini?



PADA suatu hari Rasulullah S.A.W menuju ke Taif ditemani oleh Zaid bin Harithah. Mereka berjalan kaki sejauh 50 batu menempuh panas terik matahari. Hawa panas padang pasir tidak sedikit pun menggoyahkan semangat mereka untuk menyebarkan Islam. Keimanan adalah sebaik-baik bekalan hati dan jiwa

Setibanya mereka di Taif, Rasulullah S.A.W telah bertemu dengan tiga orang bersaudara yang menjadi pemimpin Bani Thaqif iaitu Abdul Yalil, Mas’ud dan Habib. 

Rasulullah S.A.W terus mengajak mereka kepada Islam dan sama-sama memberi pertolongan untuk menegakkannya kepada mereka bertiga.

Sebaik sahaja Rasulullah S.A.W selesai bercakap, salah seorang dari mereka telah bangun dan berkata:
“Demi Allah, aku tidak akan beriman kepada kamu sehingga terkoyak kelambu Ka’bah.”

Seterusnya saudaranya yang kedua pula bangun dan berkata: 
“Apakah Allah tidak ada pilihan lain dari kamu untuk dilantik menjadi Rasul.”

Sementara saudara yang ketiga pula berkata: 
“Demi Allah, aku tidak akan bercakap lagi dengan kamu. Kalau kamu adalah seorang Nabi, amat merbahaya bagiku sekiranya aku tidak beriman tetapi sekiranya kamu menipu terhadap Allah sepatutnya aku tidak bercakap dengan kamu.”

Demikian sambutan para pemimpin Taif dengan terus-terang menolak dakwah Rasulullah S.A.W dan menghina Baginda. Namun Rasulullah S.A.W tetap sabar. Baginda tidak berputus asa sebaliknya Baginda berkata kepada mereka:

“Jika kamu telah melakukan apa yang kamu mahu melakukan, diamlah sekadar itu sahaja, janganlah lakukan lebih dari itu terhadapku.”

Dengan penuh sombong mereka berkata: 
“Keluarlah dari negeri kami!.”

Lalu mereka telah mengumpul dan mengerah seluruh hamba abdi dan orang-orang bodoh mengerumuni Nabi dan mengarahkan mereka membaling Rasulullah S.A.W dengan batu dan memaki hamun di kiri kanan jalan dilalui Baginda.

Mereka merejam urat keting (betis) Nabi sehingga kedua kasutnya dibasahi darah. Zaid Bin Harithah cuba melindungi Nabi tetapi kepalanya juga berdarah terkena lontaran batu.

Rasulullah S.A.W dan Zaid berhenti rehat di bawah sebatang pokok anggur yang rendang lalu Rasulullah S.A.W memanjatkan doa dan rintihan hati yang sedih dan dukacita Baginda yang masyhur kepada Allah, tuhan Yang Maha Mendengar;

“Ya Allah kepada-Mu aku mengadu lemahnya kekuatanku, sempitnya upayaku, dan hinanya aku di mata manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada semua Pengasih, Engkaulah Tuhan bagi golongan yang lemah, Engkaulah tuhanku. Kepada siapa lagi Engkau akan serahkan diriku? Adakah kepada orang yang jauh yang bermuka bengis denganku? Atau kepada musuh yang akan menguasaiku? Jika Engkau tidak memurkaiku, aku tidak peduli. Tetapi kemaafan-Mu terlalu luas untukku. Aku berlindung dengan cahaya zat-Mu yang menerangi segala kegelapan, dan kerananyalah semua urusan dunia dan akhirat akan menjadi baik, daripada turunnya kemurkaan-Mu kepadaku atau berlakunya kemurkaan-Mu kepadaku. Hanya kepada-Mu aku kembali, supaya engkau reda. Tiada upaya dan kekuatan, kecuali dengan-Mu.”

Ya Rasulullah, andai dirimu masih ada… Ingin sekali kami datang menemuimu dan memberitahu;

Di negeri kami ini ada sosok seorang tua yang amat mencintai Allah, Rasul dan agama-Nya. Di sisi kami ini ada seseorang yang sangat ‘alim dalam ilmunya. Di sisi kami ini ada seseorang yang tidak sempat sibuk mengejar dunia. Di sisi kami ini ada seseorang yang tidak sempat menukar libas dan sepatunya. Di sisi kami ini ada seseorang yang telah berdiri lama menjaga maruah agamanya untuk mati bahagia di akhirat sana.

Ketika ulamak lain sibuk menjaga ‘diri’. Ketika ulamak lain goyang kaki senang hati. Ketika ulamak lain ‘menutup mulut’ lebih selamat daripada berkata-kata. Ketika ulamak lain menghabiskan usia tua bersenang-senang dengan anak cucu dan ahli keluarga.

Dia seorang ulamak tua yang kerjanya menyampaikan kebenaran dari Allah dan Rasulullah tetapi dia dibenci dan dibaling dengan ‘batu-batu kata’ keji dan nista, fitnah dan dendam kesumat oleh bangsa sendiri yang mengaku solat setiap hari di hadapan-Mu Allah; solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah.

Allahuakbar!…

Tatkala mengenang sirah-mu Baginda Rasul, butir-butir air mata pecah dan jatuh berguguran. Kami yakin Allah Maha Mendengar Maha Berkuasa.

Kami yakin dan amat pasti, ulamak tua ini pasti akan menjawab sama seperti jawapan Baginda Rasulullah S.A.W jika sekiranya dia diuji dalam dakwahnya.

Dan kami yakin dan pasti ulamak tua ini tidak akan pernah jemu mendoakan kaumnya sekalipun dilempar dan cuba ‘dibunuh’ segala kebenaran yang ingin disampaikan.

“Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Semoga Allah angkat segala kesusahan dan kepedihan dunia fana ini dan menghadiahkan kesenangan yang tiada susah lagi sesudahnya buat sosok seorang ulamak yang dibenci dan dimusuhi oleh orang-orang yang masih belum lagi Allah jatuhkan rasa cinta dan sayang kepada dia.

“Kesabaran selalu menang ketika kemarahan telah berjaya ditawan. Harapan untuk menyelamatkan manusia dari kesesatan tidak boleh dipadam oleh lontaran batu dan darah yang membasahi sepatu Nabi. Bukan mengenai kezaliman yang telah dilakukan manusia ke atas diri Baginda itu yang diambil kira, tetapi Baginda mengadu kepada Allah sama ada ia diredhai atau dimurkai, bukannya mencari keredhaan manusia, tetapi mengharapkan keredhaan Allah.”

Semoga Allah mengurniakan kita semua petunjuk-Nya.

Usah wewenang melempar kata,
Kerana lidah tiada tulangnya,
Tak kenal memang tak cinta,
Dah kenal pasti teserlah kebenarannya.

Sumber harakahdaily.net/